Marilah kita bersama-sama taqwa kepada Allah, taqwa dalam erti menjalankan segala perintah-perintahNYa dan meninggalkan segala larangan-laranganNya. Taqwa yang benar-benar taqwa; taqwa yang dapat menumbuhkan sifat dan sikap suka tolong menolong; tolong menolong terhadap usaha-usaha kebajikan dan ketaqwaan.
Seseorang yang suka menolong dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang dipandang kebajikan, dirinya selalu disenangi manusia, sebagaimana apabila seseorang membuktikan taqwanya kepada Allah, maka orang itupun mendapatkan keredhaan Allah. Maka seseorang yang dapat mengumpulkan dua faktor ini, yakni orang yang selalu disenangi manusia dan mendapat keredhaan Allah, maka orang itu memperolehi kebahagiaan yang sempurna.
Islam amat menggalakkan agar setiap muslim berlaku ikhlas terhadap kerabatnya; ikhlas terhadap tetangganya; ikhlas terhadap orang-orang yang mempunyai hubungan kerja dengan kita. Islam juga menghendaki supaya kita memberikan bantuan yang patut di kala perlu dan berusaha menghasilkan manfaat kepada masyarakat.
Dengan cara hidup semacam ini, akan mekarlah rasa berkasih-kasihan, sayang menyayangi kepada sesama kita dan bersemangatlah hasrat bantu membantu, tumbuhlah sikap tolong menolong terhadap kebaktian dan ketaqwaan.
Amalkanlah sikap tolong menolong dengan penuh keikhlasan kerana Allah semata-mata dan kerana mencari keredhaanNya. Allah berfirman dalam Al-Quran:
Maksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah:2)
Manusia di dunia ini tidak dapat hidup berdiri sendiri. Manusia hidup di dunia perlu tunjang menunjang. Oleh kerana itu hindarilah rasa dan sikap hidup yang hanya mementingkan untuk memperoleh keuntungan diri sendiri. Apabila manusia telah dihinggapi oleh rasa ingin hidup sendiri; rasa ingin untung sendiri, maka hilanglah sifat keutamaan manusia. Manusia demikian akan terkepung dalam ruang lingkup yang sempit. Dia tidak dapat lagi melihat orang lain kecuali hanya dirinya sendiri.
Sesungguhnya, agama Islam amat menitikberatkan soal ukhuwwah dan mengajarkan manusia bahawa kehidupan ini bukan hanya untuk diri sendiri sahaja. Cubalah kita rasakan kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh orang lain. Itulah yang mendorong kita untuk turut serta menghilangkan penderitaan saudara kita sendiri. Dan dalam keadaan yang demikian, hati kita tidak akan merasa tenang sebelum penderitaan itu lenyap dari diri saudara kita. Sebaliknya hati kita akan merasa tenang dan tenteram, setelah kita berhasil menghilangkan penderitaannya dan melihat mereka dalam keadaan sihat dan sejahtera kembali.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Seorang Muslim itu menjadi saudara muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim menganiaya akan saudaranya, juga tidak boleh seorang muslim itu menghina saudara muslim lainnya. Dan barangsiapa memberikan pertolongan (memenuhi hajat keperluan saudaranya), maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya. Dan barangsiapa yang memberikan kemudahan / memberikan kelapangan bagi kesusahan seseorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya di hari kiamat.”
(Riwayat Bukhari)
Dalam hadith ini dinyatakan, bahawa orang Islam dipandang sebagai saudara antara satu sama lain. Maka persaudaraan itu mengehendaki supaya masing-masing, tidak boleh menganiayai akan yang lain, dan tidak boleh bersikap membiarkan saudaranya dalam kebinasaan. Kerana itu apabila kita dapati seseorang menderita kelaparan, wajiblah kita menolongnya untuk melepaskan dirinya dari penderitaan yang menimpanya.
Ingatlah bahawa kita ini merupakan manusia ciptaan Allah. Setiap orang pasti memerlukan bantuan, sama ada daripada manusia sendiri ataupun dari Penciptanya. Hanya Allah sahaja yang tidak memerlukan bantuan dari sesiapa pun.
Adanya orang kaya dan orang miskin, orang berpangkat besar dan dan berpangkat rendah, orang pandai dan orang yang jahil. Perbezaan ini adalah rahmat Allah s.w.t. untuk menjadikan kita saling bantu membantu dan perlu-memerlukan supaya wujud sebuah jemaah atau masyarakat yang saling tolong menolong. Perbezaan kebolehan bukan untuk dipertandingkan atau untuk menyombongkan diri atau untuk berbangga-bangga dan berkecil hati serta berhasad dengki. Ia adalah untuk sumbang menyumbang, saling memberi dan menerima dan seterusnya agar masing-masing merasa dirinya diperlukan, dihormati dan dikasihi.
Allah berfirman dalam surah Al-Isra ayat 37:
“Janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekuatanmy tidak dapat membelah bumi dan ketinggianmu tidak dapat menyamai bukit.”
Walau sehebat mana pun keadaan seseorang itu, pasti dia memerlukan jasa orang lain. Sehina mana pun seseorang, pasti dia sudah berbudi kepada orang lain. Ertinya, setiap orang ada nilai dan harga dirinya di sisi orang lain. Maka janganlah kita menjadi umat yang menyebabkan timbulnya hina menghina dan pecah belah sesama kita. Allah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) itu lebih baik daripada mereka yang mengolok-olokkan, dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita yang diperolokkan-olokkan lebih baik daripada wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.
(Al-Hujurat : 11)
Di antara tanda-tanda terjalinnya hubungan sesama muslim; sesama hamba Allah yang mampu dan yang tidak mampu, adalah ketika adanya perasaan senang memberikan manfaat kepada saudara-saudaranya. Juga jika adanya perasaan senang dan gembira melihat mereka mendapat nikmat dan kebaikan, bagaikan kita sendiri yang memperolehinya.
Apabila perasaan yang semacam ini telah tertanam dalam hati kita, maka tidak akan timbul lagi perasaan pentingkan diri sendiri. Apabila kita melihat orang lain menderita kita juga akan terasa sama penderitaan yang dia alami. Seperti kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri akan terasa juga. Kita akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tidak kira samada bantuan dalam bentuk material, fizikal ataupun dengan kata-kata yang manis.
Nabi s.a.w. bersabda:
”Barangsiapa yang suka memberikan kemudahan kepada orang yang sedang dalam kesempitan, maka Allah akan memberikan kemudahan baginya di dunia dan akhirat.”
Ketahuilah sidang muslimin yang dirahmati Allah,
Bahawasanya setiap amal kebaikan dan kebajikan yang kita laksanakan di dunia ini telah dijanjikan ganjaran yang setimpal di akhirat kelak. Ini termasuklah jika kita menghilangkan penderitaan orang lain dan juga berbuat kebaikan dalam hubungan kita sesama manusia, nescaya amalan tersebut tidak menjadi sia-sia dan kehidupan kita tidak akan mengalami kerugian.
Sesungguhnya di dalam kehidupan dunia ini kita harus menitik beratkan dua aspek perhubungan. Hubungan kita sebagai hamba dengan Tuhannya, dan juga hubungan kita sesama manusia. Peliharalah ukhuwwah kita melalui amalan bantu membantu untuk kebaikan agar ia dapat menyumbang dalam pembangunan masyarakat yang bersatu dan teguh.
No comments:
Post a Comment